Thursday, August 6, 2009


TEKS UCAPAN PERASMIAN AEROBIKTHON 2009
SMK (P) BUKIT KUDA, KLANG



Selamat pagi , selamat sejahtera dan salam perpaduan..........


Hadirin sekalian,

Terima kasih saya ucapkan kerana kesudian pihak sekolah mengundang saya untuk bersama-sama meraikan Program Aerobikthon anjuran PIBG SMK(P) Bukit Kuda, Klang.
Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada warga SMK (P) Bukit Kuda, Klang kerana berjaya melaksanakan program hari ini yang dikenali sebagai Program AEROBIKTHON . Penglibatan para murid khususnya amat dipuji kerana berusaha untuk bersaing antara rumah sukan, yang merupakan organisasi kecil di dalam sekolah. Semangat persaingan inilah yang dipupuk dari bangku sekolah akan dibawa semasa murid-murid meninggalkan sekolah. Satu pengalaman yang tidak didapati di dalam bilik darjah. Konsep bekerjasama dan bersatu-padu ditunjukkan dalam program ini, secara tidak langsung menyokong Konsep I Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita. Ini merupakan satu kejayaan yang ditunjukkan kepada warga pendidik khasnya dalam melahirkan modal insan dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk pembangunan modal insan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti di sekolah.

Program Aerobikthon ini juga menekankan aspek keseimbangan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang amat menitikberatkan aspek jasmani ,emosi, rohani dan intelek . Melalui Program Aerobikthon seperti yang dijalankan pada hari ini sudah tentu mampu meningkatkan semangat selain dapat meningkatkan tahap kesihatan murid. Kesihatan merupakan nikmat yang tidak dapat dijual-beli. Tanpa badan yang sihat, perjalanan hidup akan hambar dan tiada daya saing berlaku. Rutin kehidupan tidak dapat berjalan dengan lancar. Prestasi dan produktiviti akan menurun. Alangkah ruginya sekiranya kita tidak menjaga kesihatan kita dengan baik. Oleh yang demikian, jalani kehidupan mengikut pesanan ilmuan, sihat sebelum sakit dan mencegah lebih baik daripada mengubati.

Tahniah kepada semua murid yang telah menunjukkan potensi dengan cemerlang khususnya kepada rumah sukan yang berjaya memasuki Pertandingan Aerobikthon Peringkat Akhir pada hari ini. Bagi yang kurang berjaya, jangan putus asa, lebih banyak peluang dan ruang di luar sana yang boleh diterokai untuk menjadikan anda seorang yang lebih berjaya. Apa yang penting adalah menimba ilmu pengetahuan sebanyak mana yang anda mampu dan juga melengkapkan diri dengan sebanyak mana kemahiran yang mampu diperolehi untuk berhadapan dengan masyarakat .

Guru-guru, ibu bapa dan murid-murid yang dikasihi,

Kemungkinan terdapat ibu/bapa yang ingin bersama-sama meraikan anak-anak pada hari ini. Sokongan tuan-tuan dan puan-puan tunjukkan pada hari ini sudah pasti menyuntik semangat kepada anak-anak di dataran ini. Kerjasama daripada ibu- bapa bersama-sama mencari sumbangan untuk mengumpulkan dana bagi menambahkan prasarana serta memastikan suasana sekolah lebih kondusif amat dipuji. Inilah yang diibaratkan dalam peribahasa CONTOH MELALUI TELADAN. Begitu juga kepada murid-murid yang turut bersama-sama memberi sumbangan tenaga mencapai objektif program yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Murid-murid yang dikasihi,

Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya memenangi acara yang dipertandingkan. Bagi yang tidak berjaya, tahniah juga diucapkan kerana keberanian yang ditunjukkan dalam penglibatan anda hari ini juga adalah satu pembelajaran bersedia menghadapi cabaran walaupun anda tahu setiap pertandingan pasti ada yang menerima kekalahan. Namun, bangun selepas menerima kekalahan dan berjaya disebabkan pengalaman kekalahan tersebut lebih bermakna daripada orang yang tidak pernah menerima kekalahan atau gagal. Bawalah kenangan pengalaman ini apabila dewasa kelak.
Syabas dan tahniah diucapkan sekali lagi kepada Jawatankuasa Aerobikthon dan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Aerobikthon SMK (P) Bukit Kuda pada tahun ini.

Akhir kata, dengan sukacitanya, saya merasmikan Program AEROBIKTHON SMK (P) Bukit Kuda Tahun 2009.

Sekian, terima kasih.

No comments: