Sunday, May 22, 2011

Caj pemajuan 30% kerajaan Selangor dipersoal : Dr Ching Eu Boon


(SHAH ALAM 18 Mei) utusan malaysia

Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengenakan caj pemajuan kepada syarikat pemaju projek di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dipersoalkan kerana ia boleh membebankan rakyat negeri ini.

Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, 
Dr. Ching Eu Boon mendedahkan, caj sebanyak 30 peratus daripada harga semasa tanah perlu dibayar oleh pemaju apabila mahu menukar status tanah sesuatu projek.

Beliau menyatakan, kerajaan negeri dipercayai menguatkuasakan polisi tersebut secara berperingkat-peringkat sebelum melaksanakannya ke seluruh negeri dengan memulakannya di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada penghujung 2008.

''Kita percaya polisi itu tidak dibuat serentak supaya orang ramai tidak menyedari perkara itu.

''Apa yang kita lihat apabila caj tambahan itu dikenakan sudah pasti pemaju akan menampung kos tersebut dengan cara menaikkan harga rumah, jadi para pembeli akan rasa terbeban," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Warta kerajaan negeri bertarikh 25 November lalu telah mengeluarkan satu notis dikenali sebagai Kaedah-Kaedah Caj Pemajuan 2010 yang mewajibkan caj tersebut dikenakan kepada pemaju.

Eu Boon berkata, tindakan kerajaan negeri itu akan menyebabkan harga rumah meningkat kepada lebih 50 peratus daripada harga sebenar.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan rakyat sukar untuk memiliki rumah terutama generasi muda yang kebanyakannya baru hendak membina kehidupan berkeluarga.

''Polisi baru kerajaan negeri itu jelas membuktikan yang mereka tidak prihatin dengan keperluan rakyat sebaliknya mereka hanya mementingkan diri sendiri," katanya.

Sedangkan katanya, kerajaan Persekutuan berusaha membantu rakyat dengan memperkenalkan pelbagai polisi termasuk kemudahan memiliki rumah terutama generasi muda melalui Skim Rumah Pertamaku.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan kegagalan MBPJ mengutip RM24 juta hasil bayaran caj pemajuan tersebut sejak ia diperkenalkan sebaliknya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu hanya mampu mengutip RM2 juta.

''Jika kerajaan negeri memberi alasan bahawa caj pemajuan itu diperkenalkan bagi menampung kos pembangunan infrastruktur, ia jelas tidak boleh diterima sama sekali kerana PBT itu terbukti gagal mengutip wang hasil pelaksanaan caj pemajuan," katanya.

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

pengarang@utusan.com.my

No comments: